Sumbangan ibu bapa didik anak tak boleh dinilai dengan wang
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ANAK yang salih menjadi impian setiap ibu bapa dalam institusi kekeluargaan kerana mereka nanti adalah penyambung warisan kemuliaan dan keturunan pada masa akan datang. Anak yang salih menjadi penyejuk mata dan permata hati ibu bapa.
Yang paling penting, anak-anak yang salih adalah saham akhirat tidak ternilai harganya yang pahalanya berkekalan sampai kepada ibu bapa mereka biarpun mereka sudah meninggal dunia. Begitulah kedudukan seorang anak yang salih di sisi Islam. Sehubungan itu, Islam menggariskan senarai tanggungjawab dan kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh seseorang anak yang salih terhadap ibu bapanya.
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ANAK yang salih menjadi impian setiap ibu bapa dalam institusi kekeluargaan kerana mereka nanti adalah penyambung warisan kemuliaan dan keturunan pada masa akan datang. Anak yang salih menjadi penyejuk mata dan permata hati ibu bapa.
Yang paling penting, anak-anak yang salih adalah saham akhirat tidak ternilai harganya yang pahalanya berkekalan sampai kepada ibu bapa mereka biarpun mereka sudah meninggal dunia. Begitulah kedudukan seorang anak yang salih di sisi Islam. Sehubungan itu, Islam menggariskan senarai tanggungjawab dan kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh seseorang anak yang salih terhadap ibu bapanya.
Namun tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa itu sebenarnya belum lagi dapat membalas segala jasa dan budi yang pernah ditaburkan oleh mereka berdua.Ini kerana jasa, sumbangan dan khidmat ibu bapa sangat besar dan tidak ternilai harganya ketika mereka berdua bersusah payah memelihara, membesar dan memberikan pendidikan kepada anak mereka.
Di samping itu, ibu bapa juga berpenat lelah bekerja sepanjang hari mencari rezeki sesuap nasi dan harta yang halal untuk menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup anak mereka. Lebih dari itu, mereka berdua juga sanggup berkorban harta dan jiwa raga untuk anak mereka supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan aman damai. Demikianlah sumbangan dan pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai selamanya tidak dapat ditebus dan dibalas oleh seseorang anak yang salih sepanjang hidupnya.
Oleh sebab itu, Islam mewajibkan seorang anak agar mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapanya.Kesetiaan dan ketaatan seorang anak akan teruji sama ada dia sanggup memelihara dan menyumbang khidmat bakti kepada kedua-dua orang tuanya atau dia menghantar kedua-dua ibu bapanya ke rumah orang tua. Amatlah tidak wajar bagi seseorang anak membiarkan ibu bapanya merempat di jalanan atau ditempatkan di rumah orang tua sedangkan seorang anak sepatutnya mengimbas kembali zaman bayi hingga ke dewasa di mana dia telah ditatang, dibelai dan ditaburkan kasih sayang oleh ibu bapanya.
Oleh itu, apakah wajar apabila ibu bapa sudah tua, uzur dan sakit, lantas diserahkan saja kepada rumah orang tua? Padahal, ibu bapa yang sudah tua dan uzur amat memerlukan penjagaan, kasih sayang dan perhatian anaknya sendiri. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata; dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah pula engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). – (Surah al-Isra’, ayat 23)
Selain itu, seorang anak jangan sama sekali menyakiti hati kedua-dua orang tuanya biarpun dengan hanya sekadar perkataan ‘ah’ atau ‘uh’ sekalipun. Oleh itu, seorang anak hendaklah sentiasa berwaspada terhadap kata-kata dan bicara serta perbuatannya supaya jangan sampai melukakan perasaan ibu bapanya. Pernah satu ketika pada zaman Rasulullah, terdapat seorang pemuda yang berbai'ah untuk berhijrah ke Madinah dan meninggalkan kedua-dua ibu bapanya menangis.
Akhirnya kisah pemuda itu sampai ke pengetahuan Rasulullah, lalu Baginda memanggil pemuda berkenaan lalu berkata: “Kamu hendaklah kembali kepada ibu bapa kamu dan gembirakanlah hati mereka berdua sebagaimana kamu telah menyebabkan mereka berdua menangis. – (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah) Perlu dijelaskan juga bahawa kewajipan seorang anak terhadap ibu bapanya tidak hanya terhad ketika mereka berdua masih hidup di dunia yang sementara ini, bahkan kewajipan seorang anak berterusan biarpun ibu bapanya sudah lama meninggal dunia.
Begitulah antara kewajipan yang cukup besar terpikul di bahu setiap anak terhadap ibu bapa masing-masing seperti mana yang digariskan oleh Islam. Ketaatan kepada ibu bapa adalah ketaatan yang paling dituntut dalam Islam selepas ketaatan kepada Allah.
Alangkah bahagianya seorang anak yang sempat berbuat baik dan taat kepada kedua-dua ibu bapanya semasa hayat mereka.Sebaliknya alangkah ruginya dan menyesalnya seorang anak yang tidak menabur budi dan menderhaka kedua-dua ibu bapanya pula.
Rasulullah pernah bersabda maksudnya: ‘Alangkah ruginya... Alangkah ruginya... Alangkah ruginya...! Baginda ditanya: Siapakah dia yang rugi itu, wahai Rasulullah? Jawab baginda: Mana-mana anak yang sempat dengan hayat kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya, (tetapi tidak berbuat baik dan menderhaka kepada keduanya), lalu anak tadi tidak dapat masuk syurga. – (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Ulasan
Catat Ulasan