Langkau ke kandungan utama

Rumahku Syurgaku


RUMAHKU SYURGAKU
Abdullah Fahim et.all

PENDAHULUAN

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendirian kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruh–pengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa.

Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumahtangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan.

Sehubungan dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Darinya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudi dan berbudaya mulia yang akhirnya akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat menghadapi pelbagai arus cabaran. Memandangkan betapa pentingnya institusi kekeluargaan dalam pembentukan masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, maka sewajarnya ia diberi perhatian utama. Justeru itu satu program khusus diperkenalkan yang diberi nama “RUMAHKU SYURGAKU”. Program ini dilaksanakan dengan tujuan mewujudkan keluarga bahagia ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan bersatupadu selaras dengan ajaran Islam dan wawasan 2020.

DAN FALSAFAH 'RUMAHKU SYURGAKU'


Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan ‘RUMAHKU SYURGAKU’ ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek yang ditekankan dalam rancangan ini ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.

Huraian Konsep Dan Falsafah ‘Rumahku Syurgaku’

1. Membina Kebahagiaan Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang.
Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir,
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati".(Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan. Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.

Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.

Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:
(a) Niat Yang Baik

Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang.

(b) Perbuatan Yang Baik
Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang baik. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain.

Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya".(al-Mukminun: 1-11)

2. Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan


Hidup dalam erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tanpa kualiti.

Ilmu pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama; Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas.
Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia.
Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolihi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya sahaja. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:

Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menurut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.”(Riwayat Ibnu Majah)
Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan yang sangat-sangat dititik beratkan oleh Islam supaya setiap orang mencarinya, tidak kira dalam apa bidang pun selagi ia mendatangkan kebaikan dan diredhai oleh Allah S.W.T.

align="justify">Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.

Ibu bapa selaku pengemudi
keluarga sewajibnya mempunyai perancangan dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan.

Dari segi piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah, mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan amal ibadat. Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain. Perkara-perkara ini merupakan asas yang wajib dipelajari dan dihayati oleh setiap anggota keluarga.

Di samping fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain. Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut.

align="justify">
Apabila seorang sahaja mengetahuinya, pada masa itu gugurlah kefardhuannya ke atas orang lain, tetapi sekiranya tidak ada seorang pun yang mempelajari sesuatu ilmu itu, maka semua orang adalah berdosa.
Hal-hal seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan.

Kesedaran hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara.

Setiap ahli keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga, kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak maju.

Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a. pernah berpesan:

“Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu, sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.”

3. Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga


Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga.

(a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah

Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam.
Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.

Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .

Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.

(b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah

Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Ra’d ayat 28:

Maksudnya: “(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, ‘zikrullah’ pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam.
Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Sistem pendidikan negara kita membolehkan semua rakyat mampu membaca al-Quran. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.

Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat.

(c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai


Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama’ dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain.

Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak.

(d) Makan Bersama Sekeluarga

Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga.

Ibu bapa harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat, menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga.

Sebagai contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan
membaca ‘bismillah’ bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu:

Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah".(Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni) Semasa makan bersama keluarga, anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan makan atau minum kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut:

Maksudnya: Daripada Huzaifah r.a. katanya: “Apabila kami bersama-sama Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan tersebut terlebih dahulu.”(Riwayat Muslim)

Ibu bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak gelojoh dan lain-lain.

(e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah

Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu
rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh.

Ucapan salam ialah doa seseorang kepada seseorang yang lain supaya sentiasa berada di dalam suasana kebaikan dan keselamatan dan juga merupakan penghubung kasih sayang di antara sesama manusia. Oleh itu ibu bapa wajar mempraktikkan salam ini supaya dapat diikuti anak-anak mereka.

(f) Minta Keizinan Masuk Bilik

Setiap ibu bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 58:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.”(An-Nur : 58)

4. Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga

Rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka.

Antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah:

(a) Tolong Menolong dan Bantu Membantu
Dalam Keluarga


Setiap ahli keluarga berkewajipan untuk mendisiplinkan diri bagi melaksanakan tugas masing-masing. Umpamanya suami atau bapa berkewajipan mencari nafkah atau melakukan kerja-kerja yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri atau ibu melakukan kerja- kerja yang agak ringan dan sesuai dengan kemahiran wanita. Begitu juga dengan anak-anak diberikan tugas-tugas tertentu sesuai dengan peringkat umur dan kesanggupan fizikal mereka. Satu program gotong royong di antara ahli keluarga seperti membersihkan rumah patut diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

align="justify">
Ia boleh mewujudkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab di kalangan ahli keluarga. Melalui program ini rumah sentiasa bersih dan kesihatan dapat dijaga. Allah mengasihi orang-orang yang mengamalkan kebersihan.
(b) Hubungan Kejiranan Yang Baik


Kesejahteraan dalam keluarga bukan hanya diperolihi hasil dari hubungan antara anggota dalam keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling juga patut diberi perhatian. Perhubungan kejiranan yang intim akan wujud jikalau semua ahli keluarga berkesempatan untuk berbual-bual mesra, bertukar-tukar fikiran, bergurau senda dan beramah mesra antara satu sama lain. Oleh itu setiap keluarga wajar meluangkan satu masa untuk berinteraksi dengan jiran khususnya jiran yang paling hampir.

(c) Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah

Selain berbaik-baik dengan jiran tetangga, setiap keluarga juga wajar memiliki beberapa kemahiran. Dalam Islam ilmu dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam rumahtangga. Kemahiran seperti ini perlu bagi setiap ahli keluarga supaya mereka berupaya melakukan sendiri kerja-kerja seperti membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada rumah.
Memasang dan menukar mentol lampu, membaiki kebocoran paip air dan lain-lain. Di samping itu ahli keluarga hendaklah mempunyai kemahiran asas di dalam membaiki kenderaan yang dipunyai oleh keluarga seperti kereta, motosikal, basikal dan seumpamanya. Ini adalah bersesuaian dengan kehendak negara untuk mewujudkan masyarakat yang bekerja dan berkemahiran.

(d) Mengadakan Aktiviti Rekreasi

Dalam rumahtangga perlu juga ada suasana hiburan dan rekreasi dalam keluarga. Ia boleh menimbulkan kesan positif ke arah kesihatan mental dan fizikal. Jenis-jenis hiburan pula mestilah yang tidak bercanggah dengan hukum Islam. Setiap keluarga juga wajar mengatur program rehlah ke tempat-tempat rekreasi atau lawatan di dalam atau luar negeri mengikut kemampuan keluarga tersebut. Aktiviti ini akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam keluarga.


5. Menjaga Kesihatan dan Kebersihan Keluarga

Kebahagiaan rumahtangga tidak akan tercapai jika sekiranya terdapat ahli-ahli keluarga sering mengidapi penyakit. Ibu atau bapa yang tidak sihat tidak dapat menguruskan rumahtangga dengan sempurna. Manakala anak-anak yang sakit pula tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik. Oleh kerana kesihatan tubuh badan menjadi soal penting dalam hidup seseorang dan memerangi penyakit adalah satu tugas yang wajib di dalam Islam, maka Islam telah menggariskan beberapa panduan yang berkaitan dengan kesihatan seperti berikut;

(a) Makan Makanan Yang Halal

Islam menggesa umatnya supaya memakan benda-benda yang baik dan halal serta melarang memakan benda-benda yang merbahaya dan merosakkan kesihatan. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 114:

Maksudnya: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah akan Dia semata-mata.”(An-Nahl : 114)
Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 172 :

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-NYA.”

Oleh yang demikian, setiap ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang makan minum keluarganya dan memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut keluarganya itu daripada sumber rezeki yang halal.

(b)

Makan Makanan Yang Bermutu Dan Berkhasiat

Penjagaan kesihatan dari segi penyimpanan, penyediaan, penghidangan makanan dan keperluan pemakanan perlu dititikberatkan. Penyediaan makanan dan pemakanan perlu dirancang dengan teliti supaya kuantiti dan kualiti zat makanan itu seimbang dengan keperluan setiap keluarga. Seorang ibu wajib menyediakan makanan yang berzat dan berkhasiat. Dalam pemilihan kandungan zat makanan ia tidak semestinya diambil dari bahan-bahan yang mahal tetapi yang penting makanan itu berkhasiat dan tidak memudaratkan kesihatan.


(c) Elakkan Makan Makanan Yang Tidak Bersih

Islam menyuruh umatnya memakan makanan yang baik dan melarang memakan makanan yang tidak bersih. Orang yang mementingkan kesihatan, sentiasa memastikan makanan yang diperolehi dan dimakan oleh keluarganya adalah bersih dan halal. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 115:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa). Sesungguhnya Allah Amat Pengampun Lagi Amat Mengasihani.”

(d) Makan Secara Berlebihan Akan Memudaratkan kesihatan
Ibu bapa diingatkan supaya tidak memberi makanan atau minuman secara berlebihan kepada keluarganya, tetapi makanan itu hendaklah disediakan secara sederhana, sekadar memenuhi keperluan tenaga, kesihatan dan pembesaran. Waktu makan hendaklah diatur dan janganlah dibiasakan makan tidak tentu masa kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Dalam hubungan ini Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31:

Maksudnya: “...Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(e) Mencegah Penyakit

Sesebuah keluarga hendaklah sentiasa melihat tanda-tanda penyakit yang ada pada keluarganya, supaya ia dapat dicegah lebih awal. Kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan imunisasi hendaklah segera dibawa ke klinik mengikut jadual yang ditetapkan. Dalam Islam langkah pencegahan penyakit adalah sangat dititikberatkan. Peka terhadap pencegahan penyakit adalah antara ciri utama kepada sesebuah keluarga bahagia. Anak-anak hendaklah sentiasa dididik supaya menjaga kebersihan dan mengelakkan daripada benda-benda kotor. Seelok-eloknya di dalam rumah hendaklah disediakan sebuah kotak pertolongan cemas, sebagai persediaan apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini atau kecemasan.

(f) Menjaga Kebersihan Diri

Satu lagi unsur penting dalam penjagaan kesihatan ialah menjaga kebersihan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara. Oleh yang demikian untuk membina keluarga yang sihat dan sejahtera, kebersihan tubuh badan amat dititik-beratkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Ibn Abbas r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,”Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya."(Riwayat at-Tabarani)
Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.”(Riwayat at-Tabarani)
Dalam hadith yang lain:
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. memotong kukunya dan mencukur misainya pada hari jumaat sebelum baginda mengerjakan sembahyang.”(Riwayat at-Tabarani)

Daripada ayat al-Quran dan hadith yang dibentang di atas dapat difahami bahawa membersihkan badan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan-amalan seperti itu perlulah dilakukan oleh setiap ahli keluarga kerana ia merupakan usaha untuk mengelakkan diri daripada mendapat pelbagai penyakit di samping menjadi lambang kecantikan, kekemasan, kebersihan dan nilai personaliti orang Islam.

Selain daripada itu setiap ahli keluarga juga perlu menjauhi kekotoran yang berpunca daripada najis. Oleh itu Islam menuntut setiap anak lelaki dan perempuan dikhatankan supaya terhindar dan jauh daripada kuman atau penyakit yang boleh memberi kesan kepada kesihatan alat kelamin. Demikian juga Islam mewajibkan beristinjak atau bersuci untuk membersihkan diri daripada sebarang najis dan kotoran apabila selesai membuang air.

Bagi perempuan yang didatangi haid atau najis, mereka hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri supaya tidak dicemari oleh darah haidnya. Mereka hendaklah segera bersuci apabila tempoh haid atau nifasnya tamat.

Salah satu bahagian tubuh badan yang perlu dan penting dijaga ialah rambut. Setiap ahli keluarga perlulah menjaga kebersihan rambut supaya ia kelihatan kemas dan rapi. Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mempunyai rambut maka hendaklah ia merapikannya.”(Riwayat Abu Daud)
Rambut adalah ibarat mahkota seseorang. Oleh yang demikian ia perlulah dijaga dan diurus dengan sebaik-baiknya, disapukan minyak atau ubat yang sesuai supaya cantik, bersih dan menyenangkan mata memandang. Rambut yang berbau busuk amat mengaibkan.
Setiap ahli keluarga juga perlu menjaga kebersihan tangan lebih-lebih lagi ketika hendak menghadapi makanan atau minuman. Sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, Rsulullah s.a.w. bersabda, “Apabila salah seorang daripada kamu hendak makan, maka hendaklah ia membasuh tangannya.”(Riwayat Ibnu ‘Adi)

Daripada hadith di atas, dapat difahamkan bukan tangan sahaja yang perlu bersih malah termasuklah mata, hidung, mulut, kaki dan sebagainya, kerana anggota-anggota tersebut adalah termasuk di dalam anggota-anggota wuduk yang mesti dijaga kebersihannya.

Selain daripada kebersihan tubuh badan dan anggota-anggota lahir, setiap ahli keluarga perlu
juga menitik beratkan kebersihan pakaian. Walaupun tujuan ialah untuk menutup aurat tetapi kebersihannya perlu juga dijaga. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Muddathir ayat 4 :
Maksudnya: “Dan pakaianmu maka hendaklah engkau bersihkan.”
Kebersihan pakaian menjadi salah satu daripada syarat sah ibadat sembahyang. Oleh yang demikian ia perlu dijaga supaya tidak terkena sebarang kekotoran dan najis. Keluarga yang bahagia adalah terdiri daripada individu-individu yang sentiasa menghiasi diri dengan pakaian kemas dan bersih. Kebersihan pakaian juga adalah lambang personaliti mulia seseorang Islam.

6. Mengukuh dan Menjaga Ekonomi Rumahtangga
Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu keperluan dalam kehidupan rumahtangga, lebih-lebih lagi apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Pada hari ini boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh sebab itulah Islam menyuruh umatnya supaya kuat bekerja mencari wang dan harta, membina kehidupan yang maju dan kuat supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran.

Dalam rumahtangga, bapa sebagai ketua keluarga perlu menyedari hakikat ini. Di samping menyediakan bekalan ilmu dan pendidikan kepada anak isteri supaya hidup mereka terbimbing, dia juga harus kuat berusaha mencari wang dan harta agar dengan wang dan harta itu keluarganya dapat memenuhi sekurang-kurangnya tiga keperluan asasi kehidupan, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Bekerja mencari wang dan rezeki, selain untuk memenuhi keperluan hidup, juga dapat menguatkan sesuatu umat, sebab apabila sesebuah keluarga itu mantap ekonominya, ia akan membantu menguatkan kedudukan bangsa dan negaranya.

Selain memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumahtangga, setiap keluarga juga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan betul dan terancang. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pambaziran, berbelanja dengan berlebih-lebihan sehingga menimbulkan rasa riya’ atau membeli barang-barang yang tidak perlu dan seumpamanya hendaklah dielakkan. Islam menyuruh umatnya supaya hidup secara sederhana dan sentiasa berjimat cermat. Rezeki yang diperolihi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umum seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi ialah untuk tabungan. Untuk menjamin hidup masa depan, budaya menabung perlu diamalkan dalam keluarga kata pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.”

7. Mewujudkan Keselesaan Dan Keindahan Dalam Rumahtangga

Rumah adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula dari rumah. Setiap keluarga mestikah mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti ruang dapur, tandas dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: “Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik (solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.”(Riwayat al-Baihaqi)

Dalam Islam telah ditentukan bahawa kanak-kanak mempunyai tempat tidurnya sendiri. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa melatih kanak-kanak tidur berasingan apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun. Di waktu itu tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan hendaklah diasingkan supaya tidak timbul sesuatu perkara yang tidak baik. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Ibnu Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suruhlah anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan sembahyang) apabila berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur mereka.”(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Selain daripada mempunyai ruang-ruang yang cukup, hiasan rumah adalah satu ciri penting untuk mewujudkan keluarga bahagia dan menjadikan rumah itu sebuah syurga. Ini kerana setiap insan di dunia ini inginkan sesuatu yang indah., cantik dan menarik. Hal ini adalah selaras dengan anjuran Islam kerana agama Islam sendiri amat mementingkan aspek keindahan dan kebersihan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.

Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik Ia sangat sukakan yang indah dan cantik.”(Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Keindahan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah daripada semua aspek bukan sahaja tertumpu kepada aspek keindahan dan kebersihan alam sekitar, bandar dan pejabat-pejabat sahaja malah termasuklah keindahan dan kebersihan dalam rumahtangga dan sekitarnya. Amalan menjaga kebersihan adalah bermula daripada rumahtangga dan apabila dihayati dengan sepenuhnya akan wujudlah amalan penjagaan kebersihan di luar rumah.

Oleh yang demikian untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Islam seperti berikut:

(a) Sentiasa Menjaga Keindahan Dan kebersihan Dalam dan Luar Rumah

Rumahtangga yang bahagia ialah rumahtangga yang sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan di luar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana dan tidak tenteram. Sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya: Daripada Saad r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya.”(Riwayat at-Tabarani)

Kebersihan kawasan dan halaman rumah adalah penting untuk mengelak daripada sebarang bentuk pencemaran seperti bau busuk, asap, sampah sarap, pokok-pokok liar, takungan air yang tidak terurus dan sebagainya. Halaman rumah sewajarnya dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan yang rendang, pokok-pokok bunga yang berwarna-warni serta harum baunya dan pohon-pohon hijau yang merimbun bagaikan taman-taman yang indah dan mempesona, rapi, teratur dan bersih.
Keadaan ini harus dikekalkan supaya ahli keluarga sentiasa dapat menikmatinya. Persekitaran yang indah dan bersih juga perlu bagi pertumbuhan fizikal dan jiwa anak-anak. Persekitaran yang kotor bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai penyakit, malah mereka yang tidak mampu untuk mewujudkan hiasan luaran yang mungkin memerlukan belanja yang agak besar, memadailah dengan menjaga kebersihannya.

(b) Menghiasi Rumah Dengan Peralatan Dan Perhiasan Yang Diredhai Allah S.W.T.
Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga, ia perlulah dihiasi dengan perhiasan dan peralatan supaya dapat meyerikan lagi suasana dalaman sesebuah rumah. Sebaik-baik peralatan dan perhiasan ialah yang sederhana, kerana Islam menuntut umatnya supaya melakukan sesuatu perkara itu mengikut kemampuan masing-masing. Janganlah terlalu boros sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran dan membebankan seseorang. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: Dari Ibnu Al-Harith r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "... dan sebaik-baik perkara ialah secara sederhana.”(Riwayat al-Baihaqi)
Peralatan dan perhiasan dalam rumah hendaklah disusun dengan kemas dan rapi supaya ia kelihatan cantik dan meyerikan. Ia akan dapat menawan hati setiap ahli keluarga tinggal dengan aman dan bahagia. Hiasilah ruangan dalaman rumah dengan barang-barang, ukiran atau gambar-gambar yang diredhai Allah S.W.T. Jauhilah daripada menghiasi rumah dengan benda-benda yang diharamkan oleh Allah S.W.T. Rumah-rumah yang dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim dan hiasan-hiasan lain yang bermanfaat yang diredhai oleh Allah S.W.T. akan mendapat berkat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

8. Berkomunikasi Secara Baik



Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumahtangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititik beratkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 122:

Maksudnya: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia..."

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur perhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Ketika seimbang aspek ini akan membawa kepincangan.

Secara mudah komunikasi dapatlah difahamkan sebagai satu proses interaksi antara dua orang atau lebih. Hasilnya manusia akan memperolehi persefahaman, kesenangan, perubahan sikap, perhubungan yang baik dan tindakan yang harmoni.

Untuk mencapai tahap kesempurnaan di dalam sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing. Peranan seorang bapa berbeza dengan peranan seorang anak. Bapa mempunyai tugas untuk memastikan keperluan fizikal dan spiritual keluarganya dipenuhi. Dalam konteks ini, setiap individu hendaklah mengetahui kelebihan dan kelemahan diri masing-masing. Saiyidina Umar r.a. pernah berkata:

“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Kesedaran dan penerimaan seseorang tentang sifat dirinya menjadikan ia dapat melaksanakan fungsi perhubungan dengan lebih sempurna.”
Seorang bapa bertanggungjawab menjaga kesejahteraan ahlinya. Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Amr, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Daripada ibnu amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab kepada jagaannya.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan menerima hakikat ini menjadikan bapa berkenaan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut secara ikhlas. Implikasinya beliau akan menjalin hubungan dengan orang lain lebih bermakna. Berikutan dari itu persoalan apakah kesan perlakuan kita terhadap orang lain juga penting. Apakah akan berlaku kepada sesebuah keluarga jikalau seorang bapa tidak melaksanakan tugas tersebut. Begitulah juga dengan peranan ibu dan anak. Ia harus di laksanakan dengan berkesan kerana dengan terlaksana peranan dan tanggungjawab komunikasi yang baik, ia akan mengelakkan sesebuah keluarga daripada konflik.

Bagi mengekal dan meningkatkan perhubungan di dalam keluarga, aspek kemahiran komunikasi adalah penting. Kebanyakan orang tidak begitu peka dengan keperluan ini. Malah agak malang terdapat golongan yang merendahkan unsur komunikasi ini. Mungkin sikap ini ada hubungan dengan yang kurang tepat berkenaan hadith Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: “Daripada Amirul Mukminin Abi hafs Umar bin Al-Khattab katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap perkara itu adalah berdasarkan niat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada fahaman hadith di atas apa yang penting ialah niat. Jikalau niat seseorang mahu menyakiti seseorang sudah cukup baginya tidak menegur sapa atau tersenyum kepada seseorang. Maka terjadilah di dalam sesebuah keluarga kurang bertegur sapa dan gurau senda. Seorang bapa seharusnya pandai mengambil hati isteri dan anak-anak serta memilih cara yang baik untuk membuat teguran. Begitu juga dengan anak sepatutnya mempunyai cara yang paling baik untuk berkomunikasi dengan ibu dan bapa mereka.

Untuk mencapai keharmonian di dalam perhubungan keluarga adalah satu perkara yang agak sukar. Begitu juga usaha untuk mengekalkan tahap perhubungan yang bermakna antara ahli keluarga. Kadang-kadang keharmonian perhubungan dapat dinikmati hanya untuk suatu tempoh masa sahaja, selepas itu perhubungan menjadi masalah yang serius kepada ahli keluarga. Dalam hubungan ini motivasi adalah perlu. Motivasi ialah suatu daya untuk meningkatkan pencapaian di dalam sesuatu aspek. Jikalau di dalam soal perhubungan kekeluargaan apakah jambatan yang menjadikan ahli keluarga berupaya mengekalkan keharmonian.

Inilah soalan yang perlu dicari jawapannya oleh setiap ahli keluarga. Suatu perkara yang tidak kurang penting di dalam rumah ialah kebolehan ahli-ahli keluarga berkenaan menyelesaikan konflik di antara ahli-ahli. Kadang kala berlaku seorang bapa tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Ini menjadikan anak-anak beranggapan bapanya tidak mengambil berat tentang diri mereka. Sikap bapa yang sedemikian menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan ahli rumah. Anak akan menjauhkan diri dari keluarga. Di dalam hal tertentu bapa akan bertindak terhadap kesalahan anak-anak. Jikalau ini berlaku konflik akan timbul dan berkembang dalam keluarga berkenaan.

Dalam keadaan demikian bapa sebagai ketua keluarga hendaklah mengambil inisiatif mendekati anak dan cuba memahami masalah yang dihadapi oleh mereka. Pendekatan yang harus digunakan ialah pendekatan ‘hikmah’ iaitu pendekatan yang berasaskan keadaan yang diharuskan oleh syarak. Di dalam kebanyakan hal bolehlah dikatakan pendekatan tanpa paksaan dan kekerasan, tetapi ini tidak bererti kedua pendekatan ini bukan dari method hikmah.

9. Mewujudkan Pergaulan Suami isteri Yang Baik

Kasih sayang dan toleransi dalam keluarga adalah penting. Kedua-dua elemen ini perlu diwujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan.

Pembentukan keluarga bermula dengan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami dan isteri perlulah meletakkan aspek kasih sayang dan belas kasihan, sebagai asas dalam kehidupan berumahtangga. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan, sesuatu ikatan perkahwinan itu tidak menuju ke istana bahagia seperti yang diharapkan, malah ia akan mengubah haluan kepada kehancuran. Firman Allah di dalam al-Quran, surah ar-Rum ayat 21, iaitu:

Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Kasih sayang dan belas kasihan atau “mawaddah wa rahmah” seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas memberi maksud bahawa perhubungan ibu bapa sebagai suami isteri hendaklah berdasarkan kepada lunas-lunas keredhaan Allah S.W.T., sentiasa kasih mengasihi, bertolak ansur, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sifat suka bermaaf-maafan sebagai amalan yang berterusan. Sehubungan ini juga Allah telah memberikan panduan sepertimana yang termaktub dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 19:

Maksudnya: “... Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian, jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
Pergaulan yang baik atau “mu’asyarah bil-ma’ruf” seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas bererti pergaulan dan hidup bersama secara baik dan diredhai Allah, jauh daripada kemungkaran, kemaksiatan, penganiayaan, kezaliman dan seumpamanya.

10. Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak


Apabila perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam keadaan “ma’ruf” (baik) maka benih kasih sayang pasti akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya. Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan kehidupan mereka sendiri.
Kasih sayang dan belas kasihan ibu bapa terhadap anak-anak sebenarnya bermula dalam kandungan lagi. Bagi ibu-ibu yang sedang mengandung, mereka digalakkan memakan makanan yang baik dan berzat, mengamalkan tingkah laku yang mulia, selalu membaca al-Quran, sentiasa berdoa kepada Allah memohon kebaikan kepada anaknya dan lain-lain amalan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Islam.

Begitu juga bagi bapa, mereka hendaklah sentiasa mendampingi isteri mereka, sama-sama berkongsi kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh isteri, tidak berlaku kasar dan benci kepada isteri dan sentiasa berdoa kepada Allah memohon keselamatan kepada isteri dan bayi yang bakal dilahirkan. Begitulah seterusnya apabila anak itu lahir ke dunia, kasih sayang perlu diberikan supaya pembentukan syakhsiah mereka menjurus ke arah manusia yang sempurna, berakhlak mulia seterusnya dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang paling ideal dan tepat untuk diikuti. Ibu bapa seharusnya menyedari hakikat ini dan berazam mengamalkan segala kebaikan untuk keluarga mereka. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah r.a., sabda baginda:

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.”(Riwayat at-Tirmizi)
Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya."(Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)


11. Mewujudkan Hubungan Baik Anak Dengan Ibu Bapa

Anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapanya. Sekiranya tidak, ia telah melakukan satu dosa. Di dalam al-Quran tidak terdapat perintah khusus agar seseorang bapa mengasihi anaknya, tetapi sebaliknya yang lebih banyak ialah perintah kepada anak supaya mengasihi ibu bapa. Sebab yang demikian ialah, walaupun tidak diperintah untuk mengasihi anak, secara otomatis ibu bapa tentu mengasihi anaknya. Seorang bapa, apatah lagi ibu, amat sayang kepada anaknya sehingga ia sanggup berkorban apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Ia sanggup bersusah payah bekerja siang dan malam, menggerakkan segala usaha dan tenaga, dimana semuanya itu adalah untuk kebahagiaan anaknya. Maka wajarlah anak berbuat baik terhadap ibu bapa.

Mungkin seorang anak akan bertanya, bagaimana ia harus berbuat baik terhadap ibu bapanya. Dalam hal ini Imam Ghazali telah menggariskan dua belas panduan, iaitu:

  1. Mendengar kata mereka.

  2. Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati.
  3. Taat perintah mereka selagi mereka tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

  4. Tidak melintas di hadapan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk sesuatu maksud.
  5. Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka.
  6. Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut.
  7. Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan.
  8. Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka.
  9. Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka atas dasar membalas jasa melainkan atas dasar kewajipan demi keredhaan mereka dan keredhaan Allah S.W.T.
  10. Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka.
  11. Tidak bermuram hati apabila menghadapi wajah mereka.
  12. Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka.
12. Memupuk Kasih Sayang Dan Toleransi Dalam Keluarga

Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi di dalam keluarga. Cara utama ialah melalui pengetahuan dan didikan agama yang cukup. Selain melalui pendidikan secara formal yang diterima di sekolah-sekolah, setiap ahli keluarga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat toleransi melalui tunjuk ajar, contoh teladan, nasihat dan kaunseling serta kawalan yang berkesan. Mereka bukan sahaja disuruh supaya sayang menyayangi sesama ahli keluarga, malah juga kepada binatang peliharaan dan harta benda di rumah. Mereka hendaklah selalu diberi ingat bahawa Allah sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka
bekerjasama dan tolong-menolong sesama sendiri.

Sebaliknya Allah benci kepada orang-orang yang sering bergaduh, bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci membenci sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutamanya ibu bapa hendaklah segera mencari jalan mengatasinya.

Jelaslah bahawa kasih sayang dan semangat toleransi adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya tiap-tiap rumpun keluarga itu tidak mewujudkan satu ikatan yang baik dan harmoni, maka kedudukan sesebuah masyarakat itu akan pincang, justeru bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan. Begitulah pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh setiap ahli keluarga bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan.

KESIMPULAN

Rumahku Syurgaku adalah satu wawasan Islam yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rumahtangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mesti disempurnakan melalui piawai yang sesuai dengan ajaran Islam dan keperluan rohani dan jasmani manusia. Untuk mencapai taraf syurga bagi sesebuah rumahtangga, maka semua rukun atau piawai yang disebutkan perlulah dipenuhi dengan sebaik mungkin. Ia tidak memerlukan perancangan yang rapi dan sikap positif untuk melaksanakannya. Setiap yang gagal memenuhi rukun-rukun dan piawai-piawai tersebut, maka rumahtangganya belumlah dapat mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut

oleh Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hati-Hati Pengguna Bahan Penambah Perisa Makanan

HATI-HATI PENGGUNA BAHAN PENAMBAH PERISA MAKANAN Allah sudah memberi petunjuk melalui utusanNya, Nabi Muhammad dalam Al Quran, mengenai keperluan pokok manusia berupa makanan. Dia Subhanahu wa Ta'ala telah menentukan kaedah cara hidup sihat dengan memerintahkan agar manusia memilih makanan yang baik dan halal, seperti yang dinyatakan dalam surat Al-Baqarah ayat 168: ياأيها الناس كلوا مما في الأرض حلالا طيبا "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi" Kita semestinya bersyukur atas panduan ini. Sudah jelas, Allah mengarahkan kepada yang terbaik, tidak akan menjerumuskan umatNya. Manusia itu sendiri yang benar-benar lalai dan mengikuti hawa nafsu. Bergesernya pola hidup manusia yang cenderung konsumtif, ingin serba mudah, lebih segera, yang penting enak dirasa oleh lidah tanpa memikirkan kesan-kesan buruk yang bakal muncul dari kebiasaan yang keliru. Tanpa disedari, makanan yang lazat dinikmati, akhirnya meros...

Hukum Mengambil Gaji Tanpa Bekerja

HUKUM MENGAMBIL GAJI TANPA BEKERJA Oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Utsaimin Soalan Syaikh Muhammad bin Shalih Utsaimin ditanya: Saya pekerja di suatu instansi pemerintah, kadang-kadang kami dibayar upah lembur dari kantor kami tanpa menugaskan kami dengan pekerjaan di luar jam kerja dan tanpa kehadiran kami di pejabat. Mereka menganggapnya sebagai insentif pekerja di luar jam kerja, padahal pimpinan instansimengetahui dan mengakuinya. Kami mohon penjelasan, semoga Allah memberi anda kebaikan. Adakah boleh mengambil wang tersebut? Jika tidak boleh, apa yang harus saya perbuat dengan wang-wang yang telah saya terima dahulu yang telah saya pergunakan. Smoga Allah membalas anda denan kebaikan. Jawapan Jika kenyataannya seperti yang anda sebutkan, maka itu suatu kemungkaran, tidak boleh dilakukan, bahkan merupakan pengkhianatan. Yang harus dilakukan adalah mengembalikan wang yang telah anda terima dengan cara seperti itu ke bendahara negara. Jika tidak bisa, maka hendaklah anda menye...

Perceraian dan Perpisahan

  Perceraian dan Perpisahan Pengenalan Perceraian adalah jalan atau langkah terakhir yang diambil oleh sebuah pasangan dalam menamatkan ikatan yang terjalin iaitu ikatan perkahwinan. Perceraian atau perpisahan adalah fenomena yang boleh berlaku tanpa diduga. Ia boleh terjadi tanpa mengira berapa lama tempoh sesebuah perkahwinan itu terjalin. Tempoh 3 tahun di awal perkahwinan adalah satu tempoh yang kritikal di mana pasangan belajar memahami dan menerima kelemahan dan kekurangan pasangan mereka. Statistik yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2010 menunjukkan setiap tahun perceraian berlaku di antara 2,700 hingga 3,700 kes. Definisi Perceraian bermakna memutuskan pertalian di dalam perkahwinan. Ia juga bermaksud membuka atau melepaskan ikatan perkahwinan. Dalam istilah agama, ia bermaksud talak atau cerai. Kehidupan moden hari ini banyak menjuruskan pasangan ke lembah perceraian. Dalam konteks Agama Islam perceraian amat dibenci oleh ALLAH SWT. Walau bagaimanapun seandainya perkah...