Menghadiahkan Pahala Bacaan al-Qur’an Kepada Si Mati Menurut as-Sunnah & Ulama Bermazhab Syafi'e
Pndapat:
1 - Amalan mensedekahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah tidak tsabit dari sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam.
2 – Pahala bacaan al-Qur’an yang disedekahkan kepada orang yang telah mati adalah tidak sampai.
Penjelasan:
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى
Terjemahan: Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat selain apa yang telah diusahakannya. (Surah an-Najm, 53: 38-39)
وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ (٦٩) لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا
Terjemahan: Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan. Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup. (Surah Yaasiin, 36: 69-70)
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
Terjemahan: Setiap diri bertanggungjawab ke atas apa yang telah dilakukannya. (Surah al-Muddatsir, 74: 38)
لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
Terjemahan: Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Surah al-Baqarah, 2: 286)
Berkenaan ayat 38-39 surah an-Najm, di antaranya al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah berkata di dalam tafsirnya:
وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى أي: كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه. ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي، رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء، ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة، رضي الله عنهم، ولو كان خيرا لسبقونا إليه، وباب القربات يقتصر فيه على النصوص، ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والآراء
Terjemahan: “Firman Allah (maksudnya: Dan sesungguhnya seseorang manusia itu tidak mendapat (pahala) selain daripada apa yang telah mereka usahakannya). Di sini bermaksud:
Iaitu sebagaimana seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain, maka begitu jugalah bahawa seseorang itu tidak akan mendapat ganjaran (pahala) melainkan dari apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini, Imam asy-Syafi’e bersama para ulama yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hasil sedekah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha dia sendiri. Atas sebab itulah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam tidak pernah mensyari'atkan kepada umatnya (supaya menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang mati) dan tidak juga pernah menyukai atau memberikan petunjuk kepada mereka sama ada dengan nash (dalil yang jelas/terang) dan tidak juga dengan isyarat serta tidak dinukilkan dari walau seorang pun sahabat (bahawa mereka pernah mengirimkan pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan tersebut baik, sudah tentu para sahabat telah mendahului kita di dalam mengamalkannya. Dan di dalam permasalahan ibadah, ianya hanya terbatas (terhenti) berdasarkan dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas (analogi) atau pendapat-pendapat (pemikiran) tertentu.”
Lihat: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Azhim, 7/465. Juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana'iz, 1/174.
Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan berkenaan perkataan Ibnu Katsir di atas (katanya):
وما ذكره ابن كثير عن الشافعي رحمه الله تعالى هو قول أكثر العلماء وجماعة من، الحنفية كما نقله الزبيدي في (شرح الاحياء) 10 / 369
Terjemahan: Apa yang disebutkan oleh Ibnu Katsir dari asy-Syafi'e rahimahullah tersebut adalah merupakan pendapat majoriti ulama dan sekelompok pengikut mazhab Hanafi, sebagaimana yang dinukilkan oleh az-Zubaidi di dalam Kitab Syarah al-Ahyaa', 9/369. (Lihat: Syaikh al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/174)
Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:
وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت وقال بعض أصحابه يصل ثوابها إلى الميت
Terjemahan: “Ada pun berkenaan bacaan al-Qur’an maka yang masyhur di kalangan mazhab asy-Syafi'e bahawa tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati dan sebahagian sahabat berpendapat sampai pahala bacaan kepada si Mati.”
Kemudian beliau menjelaskan lagi:
وكل هذه المذاهب ضعيفة ودليلهم القياس على الدعاء والصدقة والحج فانها تصل بالاجماع ودليل الشافعى وموافقيه قول الله تعالى وأن ليس للانسان الا ما سعى وقول النبى صلى الله عليه و سلم اذا مات بن آدم انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له
Terjemahan: “Dan semua mazhab-mazhab tersebut (yang membolehkan menghadiahkan pahala kepada orang mati - Penulis) adalah jelas lemahnya, dan dalil yang mereka gunakan untuk membolehkan (amalan sedekah pahala kepada si mati) hanyalah qias yang diqiaskan dengan doa, sedekah dan haji. Maka sesungguhnya ianya tidak sampai secara ijmak (kesepakatan ulama). Dan dalil asy-Syafi’e serta mereka yang mengikutinya adalah (ayat al-Qur’an): (Sesungguhnya tidaklah ada yang diperolehi oleh setiap manusia, kecuali apa yang telah diusahakan). “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): 1 - Sedekah jariah, 2 - ilmu yang bermanfaat dan 3 - anak yang soleh yang mendoakannya”.”
Lihat: Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim, 1/90.
Imam Ibnu Hajar al-Haitsami rahimahullah berkata:
الْمَيِّتُ لَا يُقْرَأُ عليه مَبْنِيٌّ على ما أَطْلَقَهُ الْمُتَقَدِّمُونَ من أَنَّ الْقِرَاءَةَ لَا تَصِلُ إلَى الْمَيِّتِ لِأَنَّ ثَوَابَهَا لِلْقَارِئِ وَالثَّوَابُ الْمُتَرَتِّبُ على عَمَلٍ لَا يُنْقَلُ عن عَامِلِ ذلك الْعَمَلِ قال تَعَالَى وَأَنْ ليس لِلْإِنْسَانِ إلَّا ما سَعَى وَوُصُولُ الدُّعَاءِ وَالصَّدَقَةِ وَرَدَ بِهِمَا النَّصُّ فَلَا يُقَاسُ عَلَيْهِمَا إذْ لَا مَجَالَ لِلْقِيَاسِ في ذلك فَاتَّجَهَ قَوْلُهُمْ أَنَّ الْمَيِّتَ
Terjemahan: “Mayat tidak boleh dibacakan al-Qur’an ke atasnya sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan al-Qur’an pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang mereka telah usahakannya sendiri.”
Lihat: Ibnu Hajar al-Haitsami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, 2/26.
Kemudiannya, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah turut menjelaskan:
وقد قال شيخ الاسلام ابن تيمية رحمه الله تعالى في (الاختيارات العلمية) (ص 54): ولم يكن من عادة السلف إذا صلوا تطوعا أو صاموا تطوعا أو حجوا تطوعا، أو قروؤا القرآن يهدون ثواب ذلك إلى أموات المسلمين، فلا ينبغي العدول عن طريق السلف فإنه أفضل وأكمل
Terjemahan: Bukan merupakan kebiasaan para ulama salaf (ulama generasi awal/para sahabat), iaitu jika mereka mengerjakan puasa, solat, atau haji tathawwu', atau membaca al-Qur'an, pahalanya dihadiahkan (disedekahkan) kepada kaum Muslimin yang telah meninggal dunia. Kerana itu, tidak sewajarnya untuk menyimpang dari jalan ulama Salaf kerana mereka lebih baik dan sempurna. (Dinukil dari: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/174)
Selain pendapat tersebut, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah juga memiliki pendapat lain yang berlawanan dengan pendapatnya yang disebutkan di atas dan malah berlawanan dengan pegangan para salaf. Beliau menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia itu dapat mengambil manfaat dari semua ibadah yang dilakukan oleh orang lain yang masih hidup. Namun, pendapat beliau ini hanya semata-mata berpandukan kepada qiyas (analogi) dan tidak berpijak dengan dalil yang jelas.
Pendapat beliau telah pun dikritik (diberi bantahan) secara ilmiyah oleh Syaikh Muhammad Rasyid Ridha di dalam Kitabnya, Tafsir al-Manar (8/254-270). (Rujuk: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/174)
Dan perlu kita fahami bahawa, setiap pendapat dan perkataan manusia itu boleh diterima atau pun ditolak dengan dinilai berpandukan kepada dalil-dalil dari al-Qur'an dan as-Sunnah. Kecuali perkataan manusia bergelar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, maka hendaklah kita menerimanya.
Imam Abu Hanifah rahimahullah berpesan:
لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ما لم يعلم من أين أخذناه
Terjemahan: Tidak halal bagi seseorang untuk mengikuti perkataan kami sekiranya dia tidak mengetahui dari mana kami mengambil sumbernya. (Lihat: Syaikh Soleh al-Munajjid, Fatawa Islam Su'al wa Jawab, 1/3. Syaikh al-Albani, Sifat Solat Nabi, 1/46)
Imam Malik B. Anas rahimahullah:
إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكل ما وافق الكتاب والسنة فخذوه وكل ما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه
( ابن عبد البر في الجامع 2 / 32 )
Terjemahan: Aku hanyalah seorang manusia, adakalanya salah dan adakalanya benar. Oleh sebab itu, perhatikanlah pendapatku. Apabila ianya bertepatan dengan al-Qur'an dan as-Sunnah, maka ambillah, dan apabila ianya tidak bertepatan dengan al-Qur'an dan as-Sunnah, tinggalkanlah ia. (Lihat: Ibnu 'Abdil Barr, al-Jami', 2/32. Dinukil dari: al-Albani, Sifat Solat Nabi, 1/48)
Imam asy-Syafi'e rahimahullah:
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت
Terjemahan: Apabila kamu menemui sesuatu di dalam kitabku yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. (Lihat: Imam an-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, 1/63)
Apa Yang Bermanfaat Untuk Orang Yang Telah Meninggal Dunia?
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Terjemahan: Dari Abi Hurairah (radhiyallahu 'anhu) Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah bersabda: Apabila manusia itu telah meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Anak yang soleh yang mendoakannya, 2 – Sedekah jariyah yang pernah dilakukannya, atau 3 – Ilmunya yang dimanfaatkan. (Hadis Riwayat Muslim,Shohih Muslim, Kitab al-Wasiyah, 8/405, no. 3084. at-Tirmidzi,Sunan at-Tirmidzi, Kitab al-Ahkam, 5/243, no. 1297)
Si mati juga mendapat ganjaran (pahala) dari hasil amal soleh yang dikerjakan oleh anak-anaknya. Ini adalah disebabkan kerana anak-anak itu termasuk ke dalam kategori usaha dan hasil kerja si mati (kedua ibu bapa).
Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى
Terjemahan: Dan bahawasanya seseorang manusia itu tidak mendapat (pahala) melainkan dari apa yang telah diusahakannya. (Surah an-Najm, 53: 39)
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
إن أطيب ما أكل الرجل من كسبه، وإن ولده من كسبه
Terjemahan: Sesungguhnya sebaik-baik yang dimakan oleh seseorang itu adalah makanan yang diperolehi (terhasil) dari usahanya sendiri. Sesungguhnya anak itu termasuk dari hasil usahanya. (Hadis dari 'Aisyah. Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad Tahqiq Syaikh Shu'aib al-Arnauth, 40/34, no. 24032. Beliau menjelaskan, hadis ini hasan lighairihi. Diriwayatkan juga oleh al-Hakim, al-Mustadrak, 2/53, no. 2295 dengan dinyatakan oleh adz-Dzahabi sebagai sahih. Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana'izmenjelaskan bahawa hadis ini tidak mencapai darjat sahih. Namun hadis ini memiliki penguat. Rujuk: Ahkamul Jana'iz, 1/171)
Selain itu, ia turut diperkuatkan dengan beberapa hadis yang lain yang sahih.
Maka, apa sahaja amal-amal kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak si mati, maka si mati akan beroleh manfaat (ganjaran pahala) dari perbuatan anak-anaknya tersebut.
Amalan Agama/Ibadah Tidak Boleh Direka-reka
Hadis Nabi:
وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Terjemahan: Jauhilah olehmu perkara-perkara baru yang diada-adakan (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap bid'ah (perkara yang baru yang diada-adakan di dalam agama) adalah sesat. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, 1/49, no. 42. Disahihkan oleh al-Albani, Shohih Sunan Ibni Majah, 1/13, no. 42. Hadis Nabi dari 'Irbadh B. Sariyah)
Perlu kita fahami bahawa setiap bentuk amal ibadah yang hendak dilaksanakan (ditegakkan), hendaklah terlebih dahulu memiliki rujukan dan sandarannya dari dalil-dalil yang sahih lagi jelas. Jika sesuatu yang dianggap ibadah itu tidak memiliki sandarannya dari dalil yang jelas, maka ia boleh dipertikaikan dari menjadi sebahagian dari juzuk agama (ibadah). Malah, ia mungkin menjadi atau menjurus kepada bid'ah, iaitu suatu bentuk amalan yang dilaksanakan bagi tujuan meraih keredhaan Allah, namun ia tidak bertunjangkan kepada dalil yang jelas.
Disunnahkan Mendoakan Orang Yang Telah Meninggal Dunia
Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
وَالَّذِينَ جاءُ وْا مِنْ بَعْدِ هِمْ يَقُولونَ رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَ بِالاِيْمَانِ
Terjemahan: Dan orang-orang yang datang setelah mereka itu akan berkata (berdoa): Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman (terlebih dahulu) sebelum kami. (Surah al-Hasyr, 59: 10)
رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ
Terjemahan: Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan seluruh orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Surah Ibrahim, 14: 41)
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ
Terjemahan: Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman. (Surah Muhammad, 47: 19)
Hadis Nabi:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Terjemahan: Doa seorang Muslim untuk saudaranya dari kejauhan akan dikabulkan. Di atas kepalanya terdapat malaikat yang bertanggungjawab. Setiap kali dia mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat yang bertugas akan mengucapkan: Ameen dan bagimu yang seumapamnya. (Hadis Riwayat Imam Muslim, Shohih Muslim, 13/271, Kitab Zikir dan Doa, no. 4914. Dari hadis Abu Darda' rahiyallahu 'anhu)
Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:
إن صلاة الجنازة جلها شاهد لذلك، لان غالبها دعاء للميت
واستغفار له، كما تقدم بيانه
Terjemahan: Sesungguhnya, Solat jenazah itu menjadi bukti akan perkara tersebut (mendoakan si mati) di mana sebahagian besar darinya adalah doa untuk jenazah sekaligus permohonan ampun baginya. (Lihat: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/169)
Dibolehkah Bagi Wali Untuk Membayar Hutang Puasa Si Mati
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Terjemahan: Dari 'Aisyah radhiyallahu 'anha, bahawasnaya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Sesiapa yang meninggal dunia namun dia masih memiliki hutang puasa, maka walinya yang akan membayarnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, 7/51,Kitab ash-Shaum (Puasa), no. 1816)
Puasa yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut adalah merujuk kepada puasa nadzar yang tidak sempat ditunaikan. Ada pun puasa-puasa yang selainnya, maka ia tidak perlu diganti (dibayarkan).
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ اسْتَفْتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا نَذْرٌ فَقَالَ اقْضِهِ عَنْهَا
Terjemahan: Dari Ibnu 'Abbas radhiyallahu 'anhu (beliau berkata): Bahawasanya Sa'ad B. 'Ubadah radhiyallahu 'anhu pernah meminta pandangan (penjelasan) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:
Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia namun beliau masih memiliki hutang puasa nadzar?
Maka beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Bayarlah untuknya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, 9/306, Kitab al-Washoya, no. 2555)
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
وهذه الاحاديث صريحة الدلالة في مشروعية صيام الولي عن الميت صوم النذر، إلا أن الحديث الاول يدل بإطلاقه على شئ زائد على ذلك وهو أنه يصوم عنه صوم الفرض أيضا. وقد قال به الشافعية، وهو مذهب ابن حزم (7 / 2، 8) وغيرهم. وذهب إلى الأول الحنابلة، بل هو نص الامام أحمد، فقال أبو داود في (المسائل) (96): (سمعت أحمد بن حنبل قال: لا يصام عن الميت إلا في النذر). وحمل أتباعه الحديث الاول على صوم النذر، بدليل ما روت عمرة: أن أمها ماتت وعليها من رمضان فقالت لعائشة: أقضيه عنها؟ قالت: لا بل تصدقي عنها مكان كل يوم نصف صاع على كل مسكين.
Terjemahan: Hadis-hadis tersebut secara jelas menunjukkan disyari'atkan pembayaran hutang puasa nadzar oleh wali bagi orang yang meninggal dunia. Hanya saja, hadis yang pertama dengan kemutlakkannya menunjukkan lebih dari itu, iaitu seolah-olah merujuk kepada puasa wajib yang lainnya yang menjadi hutang bagi si mati. Pendapat seperti ini dikemukakan oleh mazhab asy-Syafi'i, mazhab Ibnu Hazm, dan yang selainnya.
Dalam pada itu, para pengikut mazhab Hanbali pula lebih cenderung kepada pendapat yang pertama, bahkan ia menjadi nash Imam Ahmad, sebagaimana di dalam al-Masaa'il-nya. Abu Daud berkata: Tidak ada kewajiban membayar hutang puasa bagi seorang jenazah melainkan puasa nadzar.
Para pengikutnya menyatakan bahawa hadis tersebut merujuk kepada puasa nadzar, dengan dalil apa yang diriwayatkan oleh 'amrah bahawa ibunya telah meninggal dunia sedang dia masih berhutang puasa Ramadhan. Kemudian, dia bertanya kepada 'Aisyah: "Adakah aku perlu membayarnya?" 'Aisyah menjawab: "Tidak, tetapi bersedekahlah untuknya sebagai ganti puasa setiap harinya dengan setengah sha' bagi seorang orang miskin. (Lihat: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/170)
Beliau menjelaskannya lagi:
وهذا قول ابن عباس وأصحابه، وهو الصحيح، لان فرض الصيام جار مجرى الصلاة، فكما لا يصلي أحد عن أحد، ولا يسلم أحد عن أحد فكذلك الصيام، وأما النذر فهو التزام في الذمة بمنزلة الدين، فيقبل قضاء الولي له كما يقضي دينه، وهذا محض الفقه
Terjemahan: Dan yang terakhir adalah perkataan Ibnu 'Abbas dan para sahabatnya dan itulah yang sahih kerana kewajiban puasa itu berlaku seperti solat. Maksudnya, sebagaimana seseorang tidak boleh mengerjakan solat untuk orang lain, maka demkianlah juga dengan puasa wajib. Ada pun puasa nadzar, maka ia wajib dipenuhi kerana dalam soal penangguhan itu sendiri ia berkedudukan sama seperti hutang sehingga dibolehkan pembarayan qadha' puasa nadzar oleh wali si mati, sebagaimana dia wajib juga melubaskan hutang-hutangnya. (Lihat: al-Albani, Ahkamul Jana'iz, 1/171)
Kesimpulannya:
Maka, dengan ini jelaslah bahawa amalan mensedekahkah (atau menghadiahkan) pahala bacaan al-Qur'an bukanlah dari bentuk-bentuk amalan yang diamalkan oleh para sahabat (serta para salaf) dan juga tidak memiliki petunjuk dari al-Qur'an mahu pun as-Sunnah.
Perlu lebih ditekankan bahawa apa yang telah mendarah daging di dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah berleluasanya bentuk-bentuk amalan (atau ritual-ritual tertentu) bertujuan mengirim (atau mensedekahkan) pahala bacaan-bacaan al-Qur'an kepada orang-orang yang telah mati sebenarnya langsung tidak berpijak kepada sumber agama yang benar. Contoh amalan-amalan tersebut adalah seperti amalan bertahlilan, beryasinan, dan membacakan al-Fatihah untuk sesiapa sahaja dari umat Islam yang meninggal dunia.
* Catatan: Semoga anak saudaraku, Muhammad Nur Idzham Bin Zurina/Sariman berada dalam perlindungan Allah..
Ulasan
Catat Ulasan