Bila membaca respon beberapa ahli agama ( kononnya ulamak ) terhadap isu semasa terutamanya isu non muslim masuk kedalam masjid & Doa pada non-muslim terpanggil saya berkongsi satu kisah meskipun hajat dihati ingin menumpukan kearah mengejar Fadhilat di penghujung Ramadhan yang tidak terkira banyaknya.
Saudara ku,
Setelah Raja Monghul menwan Iraq Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah ( rha ) bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Saudaraku,
Kalau Dizaman Ibn Tamiyyah para ulamak bimbang jubah putih mereka tercemar, Namun hari ini mungkin tidak lagi kerana pakaian rasmi ulamak jenis ini adalah slack dan blazer dan pemerintah hari ini pun bukanlah kalangan yang memenggal kepala namun realitinya, mereka bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau kenaikan pangkat dibekukan, gelaran datuk dicabut atau perlantikan sebagai penasihat syariah dalam GLC digugurkan.
Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, demi untuk menghalalkan tindakan mereka tidak berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.
Contoh yang terbaru ramai dalam dua isu terbaru reaksi ulama spesis ini telah mengundang konflik dikalangan masyarakat Malaysia dan secara tak langsung mengambarkan betapa jumudnya agama Islam itu sendiri di mata non-muslim.Akibat demi memelihara kepentingan diri ,Mereka telah merosakkan usaha bertahun-tahun para para Daie yang yang tak bergaji dalam menyampaikan mesej islam kepada non-muslim .Bahkan saya sendiri ketika menyampaikan dakhwah kepada non muslim mengetengahkan bahawa islam adalah agama rahmat dan amat memandang tinggi kepada seluruh makhluk terutamanya manusia.sedangkan mereka mencanangkan seantero negara bahawa Mengikut islam orang bukan Islam adalah najis tak boleh masuk ke masjid atau didoakan.Saya tidak menolak pendapat terutama ulamak dari kalangan bermazhab Hambali namun persoalaannya dalam konteks Malaysia adakah sesuai diketengahkan pendapat ini ,lebih-lebih lagi majoriti rakyat Malaysia bermazhab Syafie.
Hari ini ,Golongan golongan yang ahli agama yang tidak betanggungjawab ini telah merosakkan imej agama daripada memamahamkan orang ramai.Mengapa mereka tidak memberi tumpuan kearah mecari methodologi yang terbaik mengajak umat Islam cinta pada ilmu dan mengimarahkan rumah Allah dari membawa isu-isu remeh seperti ini.Bahkan kekadang orang awam pelik melihat fokus mereka dalam mengetengahkan fatwa. Contohnya mengapa membahaskan tentang ‘haram bermain mercun’Sedangkan pelajar tadika pun tahu bermain mercun tak baik..Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang pembaziran dengan membakar bunga api pada sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan ribu dari khazanah Negara..
Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).
Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia.Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia hanyut dengan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan. lidah disebabkan kepanasan disamping melancarkan kemasukan oksigen dalam badannya. Demikianlah ahli agama yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ustaz, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari habuan yang lain.
Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
Saudaraku,
Kesimpulannya golongan seperti yang dinukilkan dalam ayat akan sentiasa wujud disepanjang zaman.Jadi bersamalah kita menjauhi mereka.Kerana dari mereka datangnya fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali.WaAllahuaqlam
Posted by wan aljarumy at 8/30/2010 03:57:00 PM
Ulasan
Catat Ulasan